Thursday, February 13, 2014

Susah ke Berhijrah?

Mungkin Maal Hijrah dah lepas tapi nak cerita pasal hijrah tak semestinya kena tunggu Maal Hijrah kan...

"Aku ini nak kata budak jahat, tak adalah jahat sangat cuma nakal sikit-sikit tu adalah . Tapi sebenarnya jauh di sudut hati aku, aku nak jadi lebih baik tapi aku malu. Nanti apa yang kawan-kawan aku kata. Aku dah pernah sekali ajak mereka solat berjemaah dan pergi dengar ceramah tapi aku dipandang pelik. Aku rasa susah sangat.,"

"Aku solat cukup lima waktu sehari. Puasa pun Alhamdulillah. Nak kata bab tutup aurat, aku lepaslah agaknya. Tapi aku rasa aku ini tak cukup baik. Bila aku tengok kawan-kawan yang berubah, bila aku tengok kawan-kawan yang pakai tudung labuh dan berbaju kurung, aku rasa aku ini tak baik. Aku nak berubah tapi aku malu. Aku rasa susah."

Sekiranya terselit perasaan seperti itu..ucaplah Alhamdulillah...sesungguhnya Iman Itu Masih Ada...


Tatkala hati terkesan dengan perbuatan dosa yang dilakukan, itu bukti tandanya iman masih ada. Penyesalan itu salah satu daripada peringkat taubat. Fitrah manusia suka akan kebaikan. Sebenarnya melakukan kebaikan lebih mudah daripada melakukan maksiat. Tak percaya?

Mana lebih senang? Pergi konsert atau pergi masjid? Kalau pergi konsert, perlu keluarkan duit untuk membeli tiket dan bersesak-sesak dengan orang ramai. Faedah? Belum tentu. Kalau pergi masjid, langkahan kaki pun sudah dikira. Tidak perlu keluarkan modal. Malah makin dicintai Allah. Asal niat betul.

Mana lebih senang. Bersedekah atau mencuri? Kalau bersedekah, hanya keluarkan duit. Zahirnya berkurang sedangkan hakikatnya semakin meningkat saham di sana. Kalau mencuri, hati gelisah dan tidak tenteram. Hidup dalam ketakutan. Tidak bahagia....

Selagi dunia tidak kiamat, selagi itu peluang masih ada. Kenapa harus memandang dosa yang lalu sedangkan kita masih punya waktu?

Bagaimana dengan pandangan manusia? Cubalah jadi seorang yang TEGAS! Lumrah manusia, kalau kita buat baik sekalipun..masih ada orang yang tak suka. Kalau kita buat jahat apatah lagi... Jadi, buat hanya apa yang Allah suka walaupun manusia tidak suka. Pegang prinsip itu! Kerana kita bukan hamba manusia, kita hamba Dia! 





Create the Future

Kita selamanya tidak akan pernah tahu apa yang bakal terjadi pada masa hadapan. Tetapi kita boleh mengubahnya mulai hari sekarang. Apa yang kita buat hari ini, itulah yang bakal terjadi pada hari esok. Yang penting, tanya pada diri, jika ingin melakukan kebaikan, di manakah usaha? Begitu juga dengan soal rezeki dan jodoh. Ada yang kata semua itu takdir. Tetapi takdir, qada & qadar Allah terbahagi 2:



Qada Mubram - Adalah ketentuan Allah yang pasti berlaku dan tidak dapat dihalang oleh sesuatu apa pun. (Contoh: Mati pasti akan berlaku)

Qada Muallaq - ketentuan Allah yang tidak semestinya berlaku bahkan bergantung kepada sesuatu perkara. (Contoh: Panjang umur bergantung kepada menghubungkan silaturrahim dan amal kebajikan yang lain). 

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Tidak boleh ditolak qadar Allah Taala melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan membuat baik kepada ibubapa. (Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tarmizi).

Mari saya datangkan satu analogi. Katakan Siti seorang wanita yang sering bergelumang dengan maksiat. Tiba suatu ketika, terdetik penyesalan di hatinya. Disaat itu, dia punya dua peluang. Peluang ke arah kebaikan atau meneruskan hidup seperti sedia kala. Apakah mungkin jika dia masih meneruskan aktiviti maksiat itu, dia bakal bahagia dunia akhirat? Sudah tentu tidak! Jadi pilihan untuk memperolehi ganjaran dunia dan akhirat adalah pilihan setiap individu. Jangan disalahkan takdir jika diri ini terjerumus ke lembah maksiat.

Bukan mahu menjadi ahli nujum. Cuma mengajak untuk bersama membina masa hadapan. Mencipta jalan cerita sendiri. Kita umpama pelakon di pentas dunia. Kita punya kuasa untuk mengarah jalan drama sendiri.




Buat 
Sayangku An-nisa',

Usah biarkan keterlanjuranmu menjadi sejarah hitam yang terus mencalit debu kehitaman walau hingga ketika ini. Itu semua sejarah dahulu dan hari ini juga bakal menjadi sejarah. Tetapi bezanya sejarah dahulu itu menjadi suatu pengajaran yang besar. Dan dirimu masih punya waktu. Usah persiakannya!

Rinduilah sebuah kebaikan. Apakah saat Allah mendatangkan penyesalan di hati, anda mahu melepaskan peluang ini? Apakah pada saat Allah membuka jalan taubat buatmu, anda memilih untuk semakin menjauhi-Nya walaupun tanpa kerelaan hanya kerana malu dengan orang sekeliling? Atau merasa diri itu terlalu kotor dan tidak layak untuk diampunkan? Ketahuilah bahawa Dia Maha Pengampun. Usah pedulikan pandangan mereka, tetapi dongaklah ke atas, dan ketahuilah Dia menunggumu untuk sujud kepada-Nya! Bersama air mata taubat seorang hamba!



Saya faham, berbicara itu mudah tetapi mahu melakukan itu tidak semudah bicara dan tulisan. Kerana itu perlu kepada kisah-kisah yang dapat menguatkan hati. Yang bisa meneguhkan keazaman dalam diri untuk menjadi lebih baik.

Dengarkan kisah ini yang ingin saya putar kembali. Kisah pelacur perempuan ...yang berzina. Tetapi dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah hanya kerana memberi minum kepada seekor anjing. Tidakkah rahmat Allah itu luas? Kerana itu berhenti menghukum manusia. Walau kotor di pandangan manusia, kita tak pernah mengetahui apakah pandangan-Nya.


Lihat diri sendiri dan nilai. Kita sendiri belum tentu baik. Kita sendiri juga belum tentu tinggi dipandang Allah. Walaupun kita melakukan kerja dakwah, memberi tazkirah dan aktif dalam program keagamaan. Itu semua bergantung pada niat. Itu semua tidak bermakna jika hati terdetik riak dan melakukannya kerana ingin dipandang hebat di mata manusia. Kerana ingin manusia memandang dirinya bagus, baik, soleh dan solehah. Tika itu, tanya diri sendiri, di mana niatmu yang kau katakan kerana Allah?



Ada pula kisah pembunuh yang telah membunuh 99 orang. Pembunuhannya mencukupi 100 apabila membunuh seorang alim yang mengatakan bahawa dia telah tiada harapan bertaubat. Namun, dia tidak pernah cuba berputus asa dan mengikut nasihat seorang alim yang lain yang mengatakan bahawa dia perlu berhijrah ke satu perkampungan yang suasananya boleh membantunya bertaubat. Namun, di pertengahan jalan, dia meninggal dunia tanpa sempat bertaubat. Tetapi dalam keadaan sedang berusaha untuk bertaubat. Dan Allah memasukkannya ke dalam syurga.

Kesimpulannya....kita tidak akan pernah bisa mengubah masa lalu, tetapi kita masih boleh bertindak sekarang untuk mencipta sejarah baru.

Andai kita berhenti kerana memikirkan pandangan manusia, langkah kita tiada ke mana. Mereka tak untung apa-apa tetapi kita tetap rugi.





Sentiasalah bersangka baik dengan Allah. Apabila jalan hidup kita begitu dan begini,yakinlah itu yang terbaik. Apabila kita melakukan dosa, Dia ada untuk memberi keampunan. Saat kita lemah dan terhimpit, Dia ada untuk meniupkan semangat dan kekuatan. Dia ada untuk mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dan bersungguh.

No comments:

Post a Comment